SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang bekas Presiden merangkap Pengarah Urusan sebuah bank bergelar Datuk
Kesemua suspek ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta kepada sebuah syarikat.
Difahamkan, empat suspek berusia 49 hingga 53 tahun itu ditangkap di sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.
Menurut sumber, keempat-empat yang ditahan telah menerima rasuah yang dianggarkan RM8 juta sebagai komisen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.
“Ini suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan. Setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperolehi, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.
“Bekas presiden merangkap pengarah urusan bank tersebut dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah diterima,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Bin Baki menerusi kenyataan mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Keempat-empat individu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan direman tiga hari bermula 31 Mac hingga 2 April 2021 di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” kata beliau. – Malaysiapost

