Dah 3 penggal kalah, tiba masa serah Sungai Siput kepada Umno

0
3

SUDAH sampai masanya Barisan Nasional (BN) menyerahkan kerusi Parlimen Sungai Siput kepada Umno.

Perkara itu ditegaskan Ketua Puteri Umno Bahagian Sungai Siput, Norazura Abdul Karim dengan alasan sudah tiga penggal Pilihan Raya Umum (PRU), kerusi tersebut gagal dimenangi oleh MIC.

“Sejak PRU pertama, Sungai Siput diwakili oleh MIC dalam setiap pilihan raya. Bermula dengan Tun VT Sambanthan dan yang terakhir Tun Samy Vellu pada tahun 2008.

“Sehingga kini, setelah tiga penggal PRU, Sungai Siput masih lagi tidak mampu dimenangi oleh MIC.

“Dengan jumlah pengundi India yang hanya 11,800 ++ orang atau hingga 12,000 orang, MIC dilihat tidak mampu lagi mengembalikan kerusi Parlimen Sungai Siput kepada BN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Berikutan itu, Norazura berkata Puteri Umno bahagian Sungai Siput merasakan sudah sampai masanya BN menyerahkan kerusi tersebut kepada Umno.

“Tidak perlu bermain dengan kuota kerana selama tiga penggal, kuota ini tidak mampu mengembalikan Sungai Siput kepada BN.

“Seharusnya kerusi Sungai Siput diberi kepada parti yang mampu memenanginya semula,” katanya lagi.

Untuk rekod, Samy Vellu yang juga bekas Presiden MIC ialah penyandang kerusi Parlimen Sungai Siput selama lebih tiga dekad sejak 1974, sebelum kalah kepada Dr Michael Jeyakumar Devaraj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan 1,821 undi pada 2008.

Pada 2013, Michael Jeyakumar mempertahankan Parlimen Sungai Siput apabila menewaskan calon BN dari MIC, SK Devamany dengan majoriti 2,793 undi.

Pada PRU lalu, calon PKR, S Kesavan menang kerusi tersebut dengan majoriti 5,607 mengatasi SK Devamany serta calon PAS dan PSM dalam pertembungan empat penjuru. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here