BN ‘steady’ walaupun kena ‘kencing’ – Najib

0
1

PENUBUHAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini adalah bersyarat daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS, tegas Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak. 
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika tidak bersyarat sudah pasti kedua-dua parti itu tidak akan bersetuju Perdana Menteri dipilih daripada Bersatu yang dilihat lebih kecil dan lemah.  
Menurutnya, antara didedahkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini ialah perjanjian kerjasama untuk penubuhan kerajaan PN adalah kerajaan perlu membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) awal tahun ini. 
“Dengan syarat tersebut, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno ketika itu bersetuju menyertai PN dan melantik Perdana Menteri dari Bersatu. 
“Sejak awal lagi syaratnya ialah Parlimen hendaklah dibubarkan pada Januari 2021 dan PRU perlu diadakan selewat-lewatnya suku pertama tahun 2021 bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.  
Najib berkata, pada masa itu BN dan PAS kuat, manakala Bersatu pula lemah, maka sudah pasti ada syarat jika mahukan sokongan untuk jawatan Perdana Menteri diberi kepada Bersatu.  
“Syarat yang diberi masa itu ialah Parlimen mesti dibubarkan dalam tempoh setahun supaya mandat dipulangkan kepada rakyat dan BN hanya akan sokong kerajaan PN sehingga PRU15. 
“Pendirian ini tidak berubah dari awal-awal lagi sehingga sekarang. Sebab itu, Presiden Umno, Timbalan Presiden, Penasihat Umno, Penasihat BN, Ketua Pemuda menolak sebarang jawatan dalam kerajaan PN,” katanya.  
Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada awalnya dan selaras dengan syarat yang diberi, berulang kali umum akan laksanakan pilihan raya dalam masa terdekat termasuk semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. 
Namun kata Najib, ia tidak dikotakan dan sebaliknya meminta darurat diisytihar supaya PRU boleh ditangguhkan dengan alasan Covid-19.  
“BN ‘steady’ dan pegang kepada janji serta pendirian kita walaupun pihak lain berkali-kali ‘kencing’. Kita umum sokong kerajaan PN sehingga PRU15 sahaja, kita kotakan. 
“Kita tandatangan perjanjian untuk bermuafakat dengan PAS, kita masih tepati walaupun muafakat ini sedang tercabar,” katanya.  
Beliau berkata, BN tidak pernah berjanji untuk bertanding bersama Bersatu dalam PRU15 dan tidak pernah tandatangan untuk sertai PN selain tidak pernah khianat parti-parti lain dalam kerajaan PN. 
“Tidak kena-mengena dengan apa-apa kluster, rundingan dengan PKR atau tuduhan ‘gila kuasa’ seperti dilemparkan tiap-tiap hari oleh propaganda sebelah sana. 
“Kesemua ini adalah janji, syarat dan pendirian dari awal-awal lagi. Dan kita tak pernah bersetuju bahawa ‘Penyatuan Ummah’ ada syarat bahawa kuasa besar perlu dipegang oleh parti terkecil,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here