“ORANG kuat sebenar bukan yang berjaya menjatuhkan maruah orang lain, tapi yang mampu jatuhkan ego diri,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu dilihat seperti menegur pihak tertentu melalui hantaran di Facebooknya, ketika hubungan Umno dan Bersatu semakin tegang.
Konflik antara dua parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) turut mengakibatkan PAS terkesan apabila diminta memilih sama ada ingin bersama Umno atau Bersatu.
“Tidak semua yang jatuhkan orang akan bertambah kuat, ramai yang turut jatuh dalam perangkap sendiri… trapped in a trap of your own making,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan pihak yang berkenaan supaya membatalkan apa jua niat yang tidak baik dan insaf.
“Batal niat songsang adalah insaf terbaik,” katanya.
Takiyuddin turut berkongsi gambar dengan kapsyen “Kadang-kadang orang yang cuba jatuhkan kita, terlupa bahawa kita adalah sebahagian asbab dia mampu berdiri”.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui ucapan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ahad lalu, mengingatkan Pas yang juga sekutu kuatnya dalam Muafakat Nasional (MN) belum terlambat untuk kembali ke pangkalan jalan.
Umno juga telah memutuskan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 menggunakan lambang Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost

