SELEPAS tiga hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan, mayat lelaki yang lemas ketika berenang di Sungai Petuang, Jeram Harimau di Tasik Kenyir dekat Kuala Berang, ditemui jam 7.10 pagi tadi.
Mayat Ami Azzizol Abu Bakri, 21, ditemui terapung di permukaan air pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, oleh seorang pengusaha rumah rakit, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Said berkata lelaki itu kemudian memaklumkan kepada Pasukan Polis Marin yang meronda di kawasan berhampiran.
“Mayat mangsa diangkat oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Berikutan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mengambil masa selama tiga hari ditamatkan,” katanya.
Dalam kejadian jam 5.50 petang Sabtu lalu, mangsa dari Kampung Sungai Buaya, Dungun yang dalam percutian bulan madu bersama isteri dan ahli keluarga mentua, dikatakan berenang di hadapan rumah rakit disewa mereka.
Beberapa saksi termasuk ahli keluarga dikatakan melihat mangsa berenang dari sebuah rumah rakit untuk mandi di sungai berkenaan.
Namun tidak lama kemudian, mangsa dilihat terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot.
Mangsa dilaporkan baru seminggu berkahwin dan bercuti bersama isteri dan keluarga mentua di Tasik Kenyir kerana tidak dapat merentas negeri. – Malaysiapost

