Aguero tinggalkan City akhir musim ini

0
1

PENYERANG Argentina, Sergio Aguero yang mengumumkan akan meninggalkan Manchester City sebaik kontraknya tamat pada Julai ini, berkata dia berbangga dengan kariernya bersama kelab tersebut.

Aguero menyertai City dari Atletico Madrid pada tahun 2011 dan telah menyumbat 257 gol dalam 384 penampilan, menjadikannya penjaring terbanyak di Etihad.

Paling diingati jaringan kemenangannya ketika City mengatasi musuh setempat Manchester United untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris 2012.

“Apabila kitaran sampai ke penghujung, banyak perasaan timbul. Perasaan puas dan bangga kekal bersama saya apabila dapat bermain untuk Manchester City selama 10 musim penuh – sesuatu yang luar biasa bagi pemain profesional hari ini pada usia begini.

“Saya akan terus memberi sumbangan sehingga akhir musim bagi memenangi lebih banyak kejuaraan dan memberi kegembiraan buat penyokong,” kata Aguero seperti dilaporkan AFP.

Menerusi satu kenyataan, pengerusi City Khaldoon Al Mubarak berkata dia tidak akan mengucapkan selamat tinggal sehingga Aguero meninggalkan kelab, tetapi mendedahkan dia bersetuju membina tugu penghormatan buat penyerang itu.

“Sumbangan Sergio kepada Manchester City sepanjang 10 tahun lalu amat besar.

“Belum tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Masih banyak yang perlu dicapai.

“Sukacita saya maklumkan yang kami akan  membina tugu penghormatan Sergio di Stadium Etihad,” kata Al Mubarak.

Pemain 32 tahun itu dijangkiti Covid-19 pada Januari lalu dan bermain 14 perlawanan musim ini serta menjaringkan tiga gol.

Aguero terlepas aksi di penghujung musim lalu dan permulaan musim ini akibat pembedahan lutut pada Jun tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here