PIHAK pengusaha majlis perkahwinan khuatir sekiranya perniagaan mereka turut terkena tempias berikutan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam sebuah majlis pernikahan selebriti popular yang berlangsung semalam.
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, situasi tersebut amat menggerunkan mereka yang berada di dalam industri selain turut merasa khuatir dengan impak yang bakal berlaku di kemudian hari.
“Kami berhempas pulas mencari solusi dalam proses rayuan pembukaan semula industri ini, namun kerana isu sebegini kemungkinan besar perkara yang sangat digeruni oleh pengusaha majlis perkahwinan mungkin akan berulang semula.
“Saya mewakili persatuan ingin merayu pihak pengusaha serta yang berkaitan, janganlah sesekali mengabaikan SOP yang telah jelas ditetapkan oleh kerajaan kerana impaknya bukan hanya satu pengusaha yang bakal terganggu, tetapi keseluruhan industri akan terjejas.
“Kami harap kerajaan akan ambil tindakan tegas dan sewajarnya dalam isu ini kerana kami merasakan apa yang berlaku ini tidak adil bagi semua, selain boleh mewujudkan spekulasi dua darjat yang jelas jika diabaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, pernikahan selebriti popular Neelofa dan PU Riz di sebuah hotel di Kuala Lumpur menjadi perdebatan hangat apabila dikatakan tidak mematuhi SOP lantaran tular foto tetamu yang hadir tiada penjarakan fizikal.
Susulan itu, hari ini polis telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur majlis pernikahan tersebut berkaitan dengan isu pematuhan SOP.
Sementara itu, Zarinah berkata, seharusnya Neelofa yang juga merupakan usahawan berjaya dan ikon selebriti tanah air itu lebih peka dengan pematuhan SOP yang telah diwartakan oleh kerajaan dalam memastikan keselamatan keluarga dan semua tetamu yang hadir.
Ujarnya, adalah tidak wajar bagi seseorang yang terkenal melaksanakan majlis perkahwinan tanpa mematuhi SOP kerana penularan wabak Covid-19 masih lagi belum dapat dibendung.
“Tidak kurang juga penasihat perancang perkawinan majlis tersebut kerana ia merupakan syarikat ternama, jadi perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab agar pelaksanaan majlis pelanggannya menetapi syarat SOP.
“Isu ini serius dan membimbangkan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku antaranya wujud kluster perkahwinan, di mana akan terus mengakibatkan penutupan industri perkahwinan semula,” katanya lagi. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

