Satu lagi kluster baharu libatkan pusat tahanan hari ini

0
2

JANGKITAN Covid-19 di sebuah pusat tahanan di Johor Bahru mencetuskan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Pagar Bukit Chagar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada hari ini.

“Ianya hasil saringan bersasar ke atas tahanan dan kakitangan sebuah pusat tahanan yang terletak di Bukit Chagar, Johor Bahru.

“Sehingga hari ini, sejumlah 174 individu telah disaring, di mana 52 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini, melibatkan masing-masing satu kluster tempat kerja, komuniti dan pusat tahanan.

Perincian dua lagi kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  1. Kluster Ladang Sungai Pelek (tempat kerja)
    Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Sepang di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-328801) dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah ladang yang terletak di Sungai Pelek, Sepang.
    Sehingga 28 Mac 2021, sejumlah 182 individu telah disaring, di mana 32 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.
  2. Kluster Patek (komuniti)
    Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang di Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 326000) dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Patek, Kota Bharu.

Sehingga 28 Mac 2021, sejumlah 331 individu telah disaring, di mana 63 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/perjumpaan-majlis-sosial-di-miri-cetus-kluster-baharu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here