Pelaburan jatuh sebab selektif, tidak masuk akal – Johari

0
1

BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menempelak kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan Malaysia bersikap lebih selektif dalam menarik pelaburan asing.

Beliau demikian ketika membahaskan ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Johari menyifatkan kenyataan tersebut tidak masuk akal.

Katanya, jika dilihat cara kementerian tersebut sebenarnya yang tidak efektif dalam menarik pelaburan.

“Ada seorang Menteri ini lagi dahsyat (kata pelaburan) jatuh sebab kita selektif. Kepala otak dia pelaburan ada selektif.

“Kenyataan Azmin itu seolah-olah syarikat multinasional (MNC) ternama seperti Tesla, Amazon dan Apple ada membuat pelaburan di Malaysia.

“Apa yang saya tak boleh tahan, IBM kata nak tutup bulan Mei dan kilang Sony di Pulau Pinang pun tutup. Tiada orang pergi jumpa dan bincang (dengan mereka),” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, mesti ada sebab untuk syarikat tersebut menghentikan operasinya di negara ini.

Dalam pada itu, Johari mengulas laporan Azmin menafikan negara kehilangan pelaburan asing daripada MNC kepada negara-negara jiran.

“Kita kini lebih selektif dari segi pelaburan yang masuk ke negara kita. Kita tidak mahu lagi industri bersifat intensif buruh ke Malaysia kerana kita tidak mahu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Pada Januari lalu, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB melaporkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia merosot 68 peratus pada tahun lalu, iaitu kadar terburuk di Asia Tenggara.

Menurut Johari, walaupun penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan pelaburan di Malaysia, keadaan berbeza berlaku di Indonesia.

“Wabak Covid-19 lebih teruk di Indonesia, tetapi FDI sehingga AS$18 bilion pada 2020, sementara FDI Malaysia merosot kepada AS$2.5 bilion pada tahun sama.

“Pada 2017, FDI di Indonesia pada 2017 hanyalah berjumlah AS4.5 bilion,” katanya sambil menambah FDI di Malaysia pernah mencecah AS$13.5 bilion ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya lagi, syarikat asing lebih suka melabur di negara yang tinggi tahap demokrasinya.

Justeru, beliau berkata, menteri dan timbalan menteri Umno perlu menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menamatkan darurat, yang menurutnya telah memberi kesan kepada kemasukan pelaburan asing.

“Menteri kita ada sembilan orang, timbalan ada lapan orang. Tak perlu letak jawatan (tetapi gesa) tamatkan darurat,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here