Pusat jagaan di Pasir Puteh, Kelantan dikenakan PKPD

0
2

KERAJAAN hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah pusat jagaan di daerah Pasir Puteh, Kelantan bermula esok hingga 11 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan sebanyak 25 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan bermula 29 Mac sehingga 11 April 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat pada esok.

Menurutnya, sehingga kini KKM telah melaksanakan 3,787 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 834 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Katanya lagi, KKM mengesahkan masih berlaku jangkitan yang melibatkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 25 Mac 2021.

“Bagaimanapun, peningkatan kes ini tidak melibatkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 30 Mac sehingga 12 April 2021 kecuali Kuarters Kakitangan Penjara Tapah yang ditamatkan pada 29 Mac 2021,” ujarnya

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/dua-lokap-tahanan-pati-di-johor-bahru-dikenakan-pkpd/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here