
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan faedah keberadaan pemimpin Umno dalam jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, jemaah menteri PN dengan begitu mudah telah ‘memandulkan’ Parlimen dan menepis titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat.
“Ianya tindakan yang benar-benar telah mencabul institusi-institusi demokrasi negara yang ke semuanya diasaskan oleh Umno ketika membentuk sistem politik negara.
“Ini isu-isu baru yang membuktikan keadaan songsang jemaah menteri.
“Apatah lagi dengan isu-isu yang diperjuangkan oleh Umno semenjak zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) – iaitu isu RCI untuk Tabung Haji, isu keadilan untuk arwah Adib dan salah laku Latheefah Koya dan Tommy Thomas – yang masih tidak mendapat perhatian kerajaan PN.
“Keadaan ekonomi negara yang lemah juga tidak dapat diuruskan dengan sempurna sehingga rakyat yang dimangsakan. Ini juga kelemahan kerajaan PN,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sementara itu, Shahrir menyokong tindakan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah akan menarik diri daripada jemaah menteri jika Umno membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan PN.
Ujarnya, apakah faedahnya pemimpin Umno kekal berada dalam kerajaan PN yang bersifat seperti ‘kerajaan main masak-masak’ itu.
“Jadi, baik juga kenyataan Shamsul Anuar sebagai menyambut pandangan Tengku Razaleigh,” ujarnya.
Terdahulu, Shamsul Anuar menegaskan bahawa beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, jika Umno membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
Katanya, beliau akan terus setia dan patuh dengan apa sahaja keputusan dibuat oleh parti termasuk meletak jawatan sebagai Menteri dalam Kabinet kerajaan PN.
“Secara peribadi sudah tentu saya akan akur dengan keputusan Umno jika parti membuat keputusan kerana sebagai pemimpin kita tidak boleh meletakkan kepentingan diri di depan berbanding kepentingan umum. Ini penting bagi kita menunjukkan kepada ahli Umno dan rakyat bahawa Umno adalah sebuah parti berpegang kepada prinsip, agenda dan ideologi parti.
“Jadi apa juga keputusan dibuat oleh parti sebagai pemimpin kita kena akur. Bagaimanapun, ketika ini parti belum membuat sebarang keputusan muktamad dan perbahasan usul masih lagi berlangsung sekarang. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/shamsul-anuar-sedia-lepas-jawatan-menteri/
