Najamuddin Mohd Nor
UMNO tidak akan menghiraukan ‘jambatan’ PAS untuk memulihkan hubungan parti itu dengan Bersatu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu mustahil berlaku kerana parti itu telah menoktahkan hubungan dengan Bersatu secara rasmi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini.
“Saya kira PAS mungkin ingin terus menjadi jambatan kepada hubungan…(Bersatu). Walaubagaimanapun kita telah menyatakan bahawa hubungan dengan Bersatu ini sudah dinoktahkan.
“Kalau PAS berhasrat untuk menjadikan jambatan, ia tidak akan berlaku. Bagaimanapun yang penting hubungan Umno dan PAS itu dipersetujui oleh semua jurucakap setakat ini dan ini perkara yang sungguh baik,” katanya kepada media di PWTC, hari ini.
Ditanya mengenai gesaan PAS menyatakan pendiriannya sama ada bersama Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN), Ahmad berkata, Umno tidak pernah memberi tempoh atau tarikh untuk PAS berbuat demikian.
Namun, Ahmad juga berharap PAS akan terus bersama MN kerana hubungan itu wujud dulu daripada hubungan PAS dengan Bersatu.
“Kami tidak mempunyai sebarang guardline tentang perkara itu, kami tak beri dateline tentang perkara PAS nak ke mana, bagaimanapun kita telah membuat beberapa kajian kalau berlaku tiga penjuru misalnya, di manalah PAS akan memberi sokongan… itu masih lagi samar, kenapa samar kerana hubungan dengan Umno lebih awal datangnya daripada hubungan PAS dengan Bersatu.
“Jadi persahabatan kita telah bermula lebih awal dari 2018, 2019 lagi yang melawan dengan PH ketika itu, tetapi Bersatu berada dalam PH bersama PKR, DAP dan Amanah. Pada ketika itu kita telah bersama dengan PAS. Oleh itu saya kira hubungan kita dengan PAS lebih awal daripada PAS dengan Bersatu,” katanya.
Umno akhirnya menamatkan hubungan secara rasmi dengan Bersatu apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada PAU hari inimengumumkan parti itu kekal dengan pendirian ‘No Anwar, No DAP, No PPBM’. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/umno-kekal-pendirian-no-bersatu-no-anwar-no-dap/

