Kartel PDRM: Kenapa SPRM ambil mudah? – soal Gobind

0
1

AHLI Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki kerana didakwa memandang remeh isu kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia didedahkan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dengan jelas mengatakan ia melibatkan rasuah.

“Ketua Polis Negara tidak hanya bercakap mengenai kewujudan sebuah ‘kartel’ di dalam pasukan polis sahaja tetapi rasuah juga. Adakah pendedahan ini juga hanya satu isu dalaman yang SPRM fikirkan dapat diselesaikan secara dalaman oleh PDRM?

“Jika begitu, adakah semua jabatan, sama ada awam atau swasta di mana kes sebegini berlaku, patut hanya melakukan siasatan dalaman sahaja?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gobind turut mempersoalkan tindakan terpilih SPRM yang mengendalikan kes rasuah dan menyifatkannya sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Mengapa sebelum ini terdapat kes serupa yang dikendalikan secara berbeza, disiasat oleh SPRM dan kemudiannya didakwa di mahkamah? Kenapa tidak kes-kes tersebut dikendalikan secara dalaman sahaja?,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang di negara ini jelas mengatakan rasuah dalam sektor awam atau swasta terletak di bawah bidang kuasa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan SPRM perlu menjalankan tugas mereka.

“Datuk Seri Azam Baki berkata beliau yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan oleh pihak polis sendiri, namun itu bukanlah isunya.

“Aspek penting dalam sesuatu siasatan adalah untuk memastikan tiada unsur berat sebelah oleh pihak yang mengendalikannya. Perkara ini untuk memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat di dalam siasatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang mengendalikan siasatan seharusnya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara tersebut mahupun mempunyai sebarang hubungan dengan mereka yang akan disiasat.

“Bagaimanakah sebuah siasatan dalaman boleh memadai apabila kes ini melibatkan pihak polis itu sendiri? Sebab itulah SPRM perlu dilibatkan,” katanya.

Terdahulu, SPRM memaklumkan pihaknya tidak bercadang masuk campur isu kartel dalam PDRM kerana ia masalah dalaman pasukan itu.

Azam dipetik sebagai berkata, SPRM yakin dengan kemampuan dan kredibiliti PDRM untuk menangani isu kartel itu dan KPN sudah membuat kenyataan bahawa isu berkenaan boleh diselesaikan PDRM sendiri.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hamid mendedahkan wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita menjatuhkannya serta mendakwa gerakan itu juga adalah kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/kartel-pdrm-saya-cabar-mereka-kpn/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here