Dalam Umno jangan ada lagi ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’ – Saarani

0
1

UMNO tidak mampu lagi berdepan dengan pengkhianatan dan perlu cermat mengenali siapa kawan dan siapa lawan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ketika membahaskan usul ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung Umno hari ini, beliau berkata kesetiaan tidak berbelah bagi kepada parti amat penting semasa pertempuran di medan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Bagi tujuan tersebut, kata Menteri Besar Perak itu, Umno jangan membiarkan ada lagi watak yang kononnya mahu menjaga kehormatan parti, tetapi rupanya menjadi ‘musang berbulu ayam’.

“Jangan biarkan ada lagi watak yang mendabik dada bercakap soal perjuangan, tetapi licik menjadi gunting dalam lipatan.

“Jangan ada lagi watak yang berlagak santun mahu menegakkan maruah parti, tetapi dalam diam-diam, menjadi api dalam sekam.

“Jangan kita biarkan parti keramat ini sekali lagi dinodai dengan khianat dan kepura-puraan,” katanya namun tidak menamakan pihak yang dimaksudkan, sama ada masih berada dalam parti atau sebaliknya.

Sementara itu, Saarani berkata mengambil pengajaran daripada siri pengkhianatan pada PRU14 dan episod kecurangan ketika Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu, Umno mempunyai hak untuk berwaspada.

Katanya, melihat kerusi Parlimen menjadi komoditi politik dengan lelongan wakil rakyat yang makin menjadi-jadi, maka Umno berhak untuk berhemat menyusun langkah politiknya serta perlu cermat mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

“Mengambil kira segala cabaran politik yang begitu getir, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu lagi berdepan rakan politik yang santun berbicara soal perpaduan, tetapi di belakang licik untuk melemahkan. Umpama tangan kanan memberi salam, tangan kiri menusuk belati!

“Lantas ada bertanya, kalau boleh berpadu dengan PAS, kenapa tidak dengan Bersatu? Kalau boleh kompromi dengan PAS, kenapa tidak dengan Bersatu. Dalam hal ini, ingin saya tegaskan jangan ada yang mempersoal kesetiaan Umno terhadap Muafakat Nasional (MN) bersama PAS,” katanya.

Katanya lagi, piagam MN tidak dibentuk untuk mengekalkan kuasa politik, sebaliknya ia tertubuh ketika Umno-PAS tidak punya apa-apa, malah diherdik dan dicaci sepanjang menjadi pembangkang.

Menurutnya, Umno tidak pernah secara senyap-senyap mencuri ahli PAS begitu juga PAS tidak pernah mencuri ahli UMNO.

“Dalam pilihan raya, ketika Umno bertanding, PAS dan seluruh jenteranya setia membantu. Sepanjang pertempuran di medan pilihan raya, PAS tidak pernah meletak calon bebas untuk mengalahkan Umno. Pendek kata, Umno dan PAS, keduanya saling menguatkan, bukan melemahkan.

“Hubungan ini tidak dibayangi kesangsian, kerana muafakat yang terbina itu dipaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan.

“Pendek kata, perpaduan ummah yang dirintis Umno dan PAS bukan berkisar soal kepentingan politik semata-mata. Ia menongkah konteks yang luas dan melebar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here