KEPUTUSAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangguhkan pelaksanaan undi 18 tahun (Undi18) membuktikan sokongan kepada kerajaan semakin menipis.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata hakikatnya PN diterajui Bersatu, PAS dan Umno takut dengan kebangkitan undi anak muda.
Beliau berkata, alasan penanguhan pelaksanaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didakwa tidak masuk akal.
“Apabila saya berada di dalam kerajaan, saya bertanggungjawab untuk mendapatkan sokongan untuk usul UNDI18.
“Hasilnya memang kita semua tahu. 211 Ahli Parlimen (95%) menyokong Usul UNDI18 iaitu menurunkan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.
“Menurunkan umur calon Parlimen kepada 18 tahun. dan melaksanakan pendaftaran undi secara automatik,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, malangnya perkara itu ditangguhkan selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk melaksanakannya.
“Kerajaan PH memang sudah komited kerana usul datang dari kami. SPR janji perlaksanaan akan dibuat selewat-lewatnya pada Julai 2021.
“Tiba-tiba, di bawah kerajaan Perikatan Nasional, komitmen kerajaan hilang, SPR pula ubah status perlaksanaan kepada September 2022, 14 bulan lebih lewat. Alasannya adalah PKP.” katanya.
Hakikatnya, Syed Saddiq berkata, kerajaan takut kepada realiti bahawa sokongan kepada golongan muda terhadap mereka sudah tipis dan situasi itu merisaukan.
“Tak susah untuk laksanakan UNDI18. Dari Julai 2019 persiapan sudah dibuat. Pada awalnya, kerajaan PN sendiri sudah sahkan UNDI18 tetap mengikut jadual asal (Julai 2021).
“Malangnya, kepentingan politik parti dan ketaksuban untuk menang dalam PRU15 memaksa mereka melengah-lengahkan UNDI18,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kerajaan tidak perlu takut dengan pengundi muda sekiranya benar-benar bekerja keras untuk rakyat.
“Jangan guna alasan tak munasabah untuk lepas tangan. Jangan takut jika anda percaya pentadbiran anda adalah benar dan telus,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19
Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/undi18-kerajaan-pn-tak-gentar-hadapi-pengundi-muda-muhyiddin/

