SEORANG banduan penjara Pengkalan Chepa yang meloloskan diri hampir 17 jam, berjaya ditangkap semula oleh polis di Kampung Terbak, Tumpat, hari ini.
Mohamad Soolleh Mohd Noor, 31, yang melarikan diri kira-kira jam 10 pagi semalam ditemui ketika menunggang motosikal jenis Honda EX5 pada jam 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata semasa tangkapan dibuat, banduan itu yang sudah menunggang motosikal sejauh 25 kilometer dari penjara.
Ketika cuba ditahan, katanya suspek telah terbabas masuk ke dalam tali air ketika sampai di kampung berkenaan.
Katanya lagi, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Kota Bharu dan Tumpat.
“Sebelum itu, polis telah mengekori suspek yang menunggang motosikal dari kawasan Masjid Kelaboran, Tumpat ke lokasi kejadian sebelum dia terbabas di dalam tali air.
“Polis telah menjalankan operasi mencari suspek di dalam tali air itu dan menemui lelaki itu kira-kira dua jam kemudian.
“Suspek dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Abdul Rahim berkata, polis sedang menyiasat sama ada motosikal yang digunakan suspek itu dicuri atau terdapat individu yang meminjamkan kepadanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/banduan-kes-dadah-lolos-penjara-diburu/

