Keahlian Tun Faisal dalam Umno digantung 6 tahun

0
3

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, digantung keahlian selama enam tahun berkuatkuasa semalam.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perkara itu diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bersidang semalam.

“MKT memutuskan untuk mengesahkan keputusan oleh Lembaga Displin Umno pada 8 Mac 2021 bahawa Tun Faisal digantung hak keahlian dalam parti.

“Perkara itu diputuskan di bawah Fasal 20.9 (b), (c) dan (f) Perlembagagaan Umno yang dibaca bersama dengan perkara 3.1.2 3.1.4 dan 3.1.6 mengikut Tatetika Ahli Umno,” katanya menerusi surat yang dikeluarkan kepada Tun Faisal semalam.

Beliau berkata, penggantungan itu selama enam tahun atau dua penggal pemilihan MKT Umno bermula semalam.

Pada 19 Februari lalu, Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, diminta mengemuka surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin Umno, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu, bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, dimaklum menerusi panggilan telefon dan WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin Umno.

Sebelum ini, Tun Faisal dilaporkan berkata, Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas gerakan untuk membawa Umno menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.

MKT Umno sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP, selain terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Difahamkan, Tun Faisal akan mengadakan sidang akhbar hari ini selepas meneliti perincian keputusan hukuman yang ditentukan MKT Umno itu.

Sidang akhbar itu, untuk menuntut penjelasan daripada Umno berhubung keputusan berkenaan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here