Nurul Huda Abhar
PENYANYI Mila Jirin terkejut dengan pengakuan sahabat baiknya, Nonny Nadirah yang mengakui bahawa wanita seksi yang hangat diperkatakan hari ini adalah dirinya.
Menerusi perkongsian di laman Instagram (IG), pada awalnya Mila menyangka Instagram milik Nonny telah digodam, namun sangat sedih apabila mendapat pengakuan sendiri daripada rakannya itu.
“Aku 100 peratus percaya itu bukan kau. Aku cakap pada diri, IG kau kena godam. Tapi bila kau cakap itu adalah kau, luluh hati aku. Sedih, sangat sedih. Aku rasa macam nak ke Sabah semalam juga jumpa kau dan dengar apa masalah kau.
“Non (panggilan Nonny), aku mohon jangan buat perkara-perkara yang bercanggah dengan perintah Allah SWT. Non aku mohon, jangan sia-siakan hidayah yang dihadiahkan oleh Allah SWT. Non aku mohon lawan godaan syaitan! Ramai yang sayangkanmu Non,” katanya hari ini.
Mila yang kini bergelar usahawan sempat berkongsi momen bersama Nonny ketika mereka mengerjakan ibadat umrah.
“Kau peluk aku dan menangis waktu kita habis ibadat umrah atas Bukit Marwah. Kau peluk aku kuat dan menangis sambil ucapkan terima kasih bawa kau ke tanah suci. Aku puji kau nampak cantik bertudung, aku mohon pada Allah SWT agar kau kekal bertudung.
“Alhamdulillah bila kau buat keputusan nak berhijrah selepas pulang daripada umrah, aku antara hamba Allah SWT yang paling seronok,” ujarnya.
Pada hantaran berlainan, Mila menasihati Nonny agar kuat melawan dugaan yang datang dan harus ingat bahawa ramai yang sayang kepadanya.
Ujarnya, dia mendapat banyak mesej peribadi di Instagram yang memohon agar membantu Nonny agar tidak terpesong jauh.
“Non tolong kuat, lawan anasir-anasir yang tak baik. Bergaul dengan orang-orang yang positif. Tengok gambar ni betapa gembiranya kau dapat masuk Raudhah dapat solat dalam Raudhah.
“Jangan lari jauh dari landasan sahabatku,” ujar Mila lagi.
Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 31, hari ini memuat naik video di Instagramnya yang memaparkan wanita seksi yang memakai stokin jaring sedang duduk di sebuah kereta.
Bagaimanapun, wajah wanita tersebut ditutup dengan face shield (pelindung muka). – Malaysiapost

