Jika nak jadi nakhoda baharu, pentasnya bukan PAU, PRU – Norliza

0
2
Datuk Norliza Abdul Rahim

Nurul Huda Abhar

JIKA ada mana-mana pemimpin berhasrat untuk menjadi nakhoda baharu, pentasnya adalah pemilihan Umno akan datang, bukannya Perhimpunan Agung Umno (PAU) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Perkara itu ditegaskan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Norliza Abdul Rahim yang menyatakan Presiden Umno dipilih secara demokrasi dan diberikan kepercayaan untuk menjadi nakhoda parti.

“Penting bagi kita semua untuk sedar, politik yang hanya mencari laba keuntungan diri akan menyebabkan kita semua berantakan.

“Terlibat dengan politik wang akan meletakkan parti kita di pandang dingin oleh rakyat. Ucapan berbaur perkauman yang melampau, akan meletakkan parti terlalu ekstrem di mata pengundi.

“Jadi langkah kita perlu waspada, seimbang dan jelas. Tumpuan kita bukan untuk membina naratif politik yang berantakan, tapi mewujudkan kestabilan dan keharmonian dalam negara.

“Kestabilan yang menjamin masa depan yang jauh lebih cerah kepada rakyat dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan sempena PAU 2020 hari ini.

Norliza berkata, kestabilan politik adalah kunci bagi menjamin negara terus stabil dan maju.

Ujarnya, Malaysia perlu terus bersaing dengan negara-negara serantau dalam era ledakan ekonomi dan globalisasi di samping pemikiran serta tingkah laku juga harus seiring dengan ucapan yang diungkapkan.

Beliau berkata, Umno hanya mahukan kestabilan untuk rakyat, kesejahteraan buat masyarakat dan mewariskan sebuah negara yang utuh dari segi ekonomi dan pembangunan kepada generasi akan datang.

“Justeru, PAU 2020 perlu menjadi platform penting menyatukan kita semua. Hentikan perselisihan yang boleh membawa malapetaka lebih besar kepada parti.

“Tumpukan usaha dan tekad tekad kita untuk bekerja bersama dan merintis jalan untuk mencipta kejayaan bersama-sama.

“Abaikan adu domba pihak-pihak yang mahukan kehancuran kepada Umno. Kerana sikap mereka ini ibarat si kitol yang wujud di muka bumi hanya untuk melihat umat Melayu dan Islam berantakan dan berpecah,” ujarnya.

PAU 2020 yang akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kali diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di 190 bahagian.

Pemerhati orang awam dan ahli Umno yang bukan perwakilan tidak dibenarkan menghadiri PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur kali ini.

Acara tersebut bermula dengan perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri esok yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Upacara perasmian PAU 2020 diadakan pada Ahad ini di Dewan Merdeka disusuli Ucapan Dasar oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PAU 2020 yang diadakan sempena Sambutan Jubli Intan 75 tahun UMNO menjadi tumpuan berikutan situasi semasa politik tanah air selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here