Adakan PRU selepas pelaksanaan Undi 18 – Majlis Presiden PH

0
2
anwar ibrahim

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mengecam keras pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik pengundi ke 1 September 2022.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden PH menyifatkan ia jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan bersejarah pada Julai 2019.

Pindaan itu bagi membolehkan warga negara berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.

“Tindakan penangguhan ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka.

SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan ini yang merupakan satu kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan Malaysia.

“Penggantunggan Parlimen tidak harus disalahgunakan untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Menurut ketiga-tiga pemimpin, kegagalan itu juga mencerminkan satu kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan betapa lemahnya dedikasi SPR terhadap semangat demokrasi itu sendiri.

“Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak boleh mengelak dari turut bertanggungjawab atas kegagalan besar ini yang mengundang kemarahan golongan muda yang menunggu peluang menggunakan hak mereka untuk mengundi.

“PH berpendirian bahawa Undi 18 mesti dilaksana seperti dijadual dan diumum di Parlimen oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyudin Hassan sebelum ini, iaitu Julai 2021.

“Sekiranya jaminan dan janji Takiyuddin tidak ditunaikan maka beliau harus letak jawatan dengan segera,” katanya.

Majlis Presiden PH menambah, PH juga berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak patut diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya.

“Sekiranya PRU15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ia akan menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar Kerajaan Perikatan Nasional kepada generasi yang akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here