MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin bersama empat anggota bomba hari ini melengkapkan suntikan kedua vaksin Covid-19.
Zuraida bersama tiga anggota bomba lelaki serta seorang wanita selain Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Hamdan Wahid menerima suntikan itu menerusi Program Imunisasi Covid-19 di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya.
Mereka sebelum ini menerima suntikan vaksin yang pertama pada 5 Mac lalu.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 7,483 anggota bomba bakal menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama.
Menurutnya, ia melibatkan anggota yang bertugas secara langsung dengan operasi Covid-19 serta mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat dan menyebarkan jangkitan dalam melaksanakan tugas kebombaan.
“Vaksinasi ini penting untuk melindungi petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas berkaitan operasi Covid-19 dan pemadaman kebakaran.
“Diharapkan dengan penerimaan suntikan vaksin Covid-19 ini dapat menaikkan lagi semangat dan keyakinan anggota bomba untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” kata KPKT. – Malaysiapost

