Masih ada ruang untuk Suruhanjaya Pihanraya (SPR) mempercepatkan proses mendaftar pengundi 18 tahun tanpa menunggu September tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, SPR boleh merujuk empat pindaan pada Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 25 Julai 2019.
“Sebagai antara orang yang bangun dan mengundi pindaan Perkara 47, Perkara 119 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan pada 25 Julai 2019, kenyataan SPR ini pastinya membangkitkan kecewa.
“Dalam hal ini, SPR boleh melihat juga sekiranya ada antara komponen pindaan tersebut boleh dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menunggu yang lain.
“Kelayakan mengundi dan menjadi calon pada umur 18 tahun mungkin boleh difikirkan oleh SPR supaya boleh dilaksanakan terlebih dahulu.
“Ini sekali gus memberi ruang penglibatan demokrasi kepada anak muda untuk segera mendaftar sebagai pemilih sebelum pendaftaran secara automatik dikuatkuasakan,” katanya hari ini.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu melahirkan rasa kecewa susulan keputusan SPR menangguhkan perlaksanaan pengundi 18 tahun.
“Pemakluman SPR lewat petang semalam berkenaan pelaksanaan Undi 18 sememangnya mengundang rasa kecewa dan terkilan khususnya khususnya para belia dan anak muda.
“Saya juga menyatakan beberapa kali dan dilapor media bahawa pendirian saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen lain tidak berubah.
“Sokongan 211 orang Ahli Parlimen adalah untuk melihat satu proses demokrasi yang lebih meluas dapat diberikan kepada rakyat,” katanya lagi.
Menurutnya, mengundi adalah hak setiap warganegara dan jaminan untuk Undi 18 dilaksanakan merupakan komitmen besar yang perlu digalas oleh SPR.
“Ini juga bermakna, anak muda masih diberi ruang untuk bersama-sama dalam satu proses penting sebuah negara demokrasi.
“Sebab itulah, libat urus berterusan bersama-sama dengan pihak berkepentingan – NGO, parti politik, kumpulan fokus, kerajaan negeri, aktivis belia dan sebagainya perlu diperhebat.
“Anak muda perlu sentiasa perlu didampingi dan diajak bersama oleh SPR dalam apa jua gerak kerja yang sepenting ini,” katanya.
Pada 2019, Dewan Rakyat meluluskan usul dibawa oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meminda empat pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu:
(i) Penurunan umur layak undi menjadi pengundi kepada 18 tahun;
(ii) Penurunan umur layak menjadi calon ahli Dewan Rakyat kepada 18 tahun;
(iii) Pendaftaran automatik sebagai pengundi kepada 18 tahun; dan (iv) Penurunan umur 18 tahun menjadi ahli Dewan Undangan Negeri.
Semalam, SPR mengumunkan pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, selepas penilaian semula pelbagai isu.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR komited dengan pelaksanaan perkara itu seperti diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

