DUA menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada Umno memberi jaminan akan sekali lagi membangkitkan berkenaan pelaksanaan undi 18 dalam Jemaah Menteri untuk menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakannya dengan segera.
Sambil menyifatkan kenyataan SPR semalam berkenaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik sebagai amat mengecewakan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata beliau membawa isu itu bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ini kerana katanya, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.
Bagaimanapun Khairy berkata menurut kenyataan SPR, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi setahun daripada sasaran ditetapkan sebelum ini.
“Kenyataan terbaharu SPR ini jelas sekali bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyatakan persiapan bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik termasuk pindaan kepada undang-undang serta peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai 2021.
“Harus diingat, kenyataan SPR pada tahun lalu itu hanyalah ulangan kepada kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk VK Liew pada Oktober 2019 yang telah menetapkan sasaran sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik.
“Alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu tidak munasabah memandangkan PKP telahpun dilaksanakan semenjak lebih setahun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khairy berkata, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik ini.
Namun katanya tidak sampai lima bulan, SPR tidak semena-mena umum penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun iaitu September 2022 berbanding Julai 2021.
“Kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus bersama parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya.
“SPR seharusnya memberi penjelasan lanjut berkenaan program libat urus ini memandangkan proses ini bukan lagi perkara berbangkit kerana Undi 18 ini telahpun dipersetujui di peringkat tertinggi proses membuat undang-undang dalam negara ini iaitu Parlimen Malaysia.
“Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikitpun perlu menjejaskan tempoh masa yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu menambah penurunan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukan hasrat kerajaan terdahulu semata-mata, malah mendapat persetujuan kesemua parti politik termasuk menerusi Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti Dewan. – Malaysiapost

