HAD umur 18 untuk mengundi yang diluluskan di Dewan Negara pada Julai 2019 dilihat akan merubah norma kehidupan remaja masa kini.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata jika sebelum ini remaja berusia 18 tahun lebih tertumpu pada pelajaran atau kerjaya dan politiknya dipengaruhi oleh keluarga kini mereka berperanan menentukan hala tuju negara.
Menurutnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun itu akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
“Langkah ini dilihat meletakkan Malaysia sebaris dengan negara membangun yang lain seperti Indonesia misalnya, menetapkan had mengundi pada usia 17 tahun, manakala Argentina, Austria dan Brazil pula sudah serendah 16 tahun.
“Kelulusan usul ini juga akan memberikan pertambahan sebanyak 20 peratus atau kira-kira 3.7 juta pengundi baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Beliau berkata, angka itu jelas menunjukkan peranan besar golongan muda dalam sistem demokrasi berikutan golongan berkenaan dilihat boleh menjadi antara ‘king maker’ dalam menentukan mandat bagi mentadbir negara.
“Di sebalik banyak persoalan yang berbangkit mengenai kematangan dan literasi politik golongan terbabit dalam menentukan hala tuju negara, saya berpendapat golongan ini boleh mencapai kematangan politik dengan cepat.
“Ini kerana kita dalam zaman digital masa kini dan maklumat boleh diakses melalui pelbagai medium dengan pantas. Perolehan maklumat ini akan membantu mereka untuk membuat keputusan kepada siapakah sokongan atau undi patut diberikan,” katanya
Beliau berkata, dari sudut psikologi pula, usia 18 tahun merupakan fasa terakhir sebelum transisi ke alam dewasa dan mereka cenderung melakukan keputusan kritikal di samping berfikiran lebih jauh terutama dalam isu serius seperti perihal agama, bangsa dan negara.
“Selain itu, langkah ini akan membolehkan golongan muda melihat hak mereka untuk mengundi diiktiraf dari awal, sekali gus boleh menarik minat mereka untuk terbabit dalam politik.
“Melalui politik, mereka berpeluang untuk belajar bagaimana melaksanakan tanggungjawab dengan amanah selain menyerlahkan lagi ciri kepimpinan yang ada,” katanya.
Menurutnya, secara kesimpulan peranan anak muda dalam mentukan hala tuju negara tidak boleh di ambil mudah.
“Perlaksanaan undi 18 harus disegerakan bagi memberi nafas baru melalui idea dan pendekatan baru dalam arena politik negara.
“Mari kita sama-sama berdoa agar sistem demokrasi negara terus subur dan gemilang dan diperkukuhkan lagi melalui perlaksanaan undi 18 ini,” katanya. – Malaysiapost

