ANGGOTA polis cedera paha kiri selepas terkena tembakan sendiri ketika proses mengosongkan senjata api di Balai Polis Metanti, Pasir Mas lewat malam tadi.
Dalam kejadian 11.42 malam itu, konstabel polis berkenaan baru selesai menjalankan tugas dan ingin menyimpan senjata api.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota polis berusia 29 tahun itu terkena tembakan selepas peluru di dalam pistol dikatakan meletup secara tiba-tiba.
“Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika anggota terbabit selesai dalam tugas Ronda Cegah Jenayah dan mahu menyerahkan senjata api jenis pistol separuh automatik.
“Ketika proses keselamatan mengosongkan senjata, secara tiba-tiba anggota yang berada di kaunter hadapan terdengar satu letupan kuat berhampiran.
“Anggota polis di bahagian hadapan bergegas ke belakang dan melihat mangsa berlumuran darah pada bahagian paha kiri disyaki tertembak diri sendiri,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Shafien berkata, siasatan awal mendapati semasa anggota itu mengeluarkan kelopak peluru dari pistol, secara tiba-tiba satu das tembakan dilepaskan secara tidak sengaja dan peluru menembusi paha anggota terbabit.
Menurutnya, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu untuk melihat sama ada ia satu kecuaian atau sebaliknya. – Malaysiapost

