PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2020 menjadi medan terpenting parti itu menjernihkan segala prasangka dan persepsi yang mungkin timbul dalam parti.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perhimpunan itu juga mempunyai tradisi dan sistem tersendiri.
“Tradisinya ialah apa juga pandangan, perbezaan dan mungkin perselisihan yang berlaku ia selalunya akan dirungkaikan dan dijernihkan di PAU.
“Di sinilah warga parti akan mendapat satu pencerahan dan kejelasan berkenaan hala tuju parti yang akan diberikan oleh barisan kepimpinan dan akan dibahaskan oleh jurucakap mewakili negeri yang membawa aspirasi daripada akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, itulah semangat dan tradisi Umno yang wajar dipertahanankan.
“Jangan kita menari mengikut lagu yang dialunkan oleh mereka yang sudah tentu mencemburui dan dengki kepada kita
“Umno ada maruah, Umno ada harga diri. Apa juga isu yang melanda parti itu adalah sebahagian daripada asam garam perjuangan yang penting kita harus tetapkan pendirian setia dengan idealisme.
“Kita ini adalah parti mewakili suara rakyat dan suara rakyat ini amat penting untuk kita gemakan kerana Umno dan Rakyat bagai aur dengan tebing tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, sebagai parti yang mewakili rakyat, Umno harus fokus untuk menjelaskan hala tuju memperjuangkan suara rakyat walau dengan apa cabaran yang dihadapi.
“Paling penting apa yang kita harapkan daripada PAU kali ini yang mungkin medan terakhir sebelum kita menghadapi pilihan raya
“Sebagai warga parti kita dapat satukan tekad kekalkan keazaman kita, iltizam kita untuk sama-sama memperkukuhkan wadah tercinta demi memperjuangkan aspirasi rakyat,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/25/semua-berkobar-kobar-jayakan-pau/

