BERIKUTAN tiga kemalangan membabitkan helikopter dalam tempoh enam bulan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengadakan taklimat pematuhan peraturan keselamatan pengoperasian helikopter di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata taklimat itu akan dilaksanakan untuk pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang helikopter bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi sepenuhnya.
Menurutnya, kehadiran semua yang terbabit bagi taklimat itu adalah wajib.
“Taklimat pematuhan peraturan keselamatan ini akan merangkumi latihan pengurusan keselamatan, mengenal pasti sebarang perkara berbahaya serta faktor dan penilaian risiko keselamatan untuk dipertimbangkan dalam pengurusan keselamatan bagi semua pihak termasuk organisasi kecil.
“CAAM ingin menjelaskan bahawa semua pengendali helikopter di Malaysia telah diperiksa sepenuhnya, malah mereka diwajibkan memiliki lesen sah serta sijil-sijil penyelenggaraan bagi memastikan kelayakan juruterbang adalah sahih selain kelayakan untuk menerbangkan helikopter mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, berhubung kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSASS), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan mengenal pasti punca-punca dari siasatan yang dijalankan.
“CAAM pula akan melaksanakan latihan untuk memastikan risiko seperti ini dapat dikurangkan seterusnya mengelak kejadian serupa berulang pada masa depan.
“Tindakan ini dilaksanakan dengan peraturan yang adil dan yang paling penting ia dilakukan demi kepentingan keselamatan semua pihak,” katanya.
Malaysiapost semalam melaporkan sebuah helikopter jenis Airbus Helicopter AS350 B3 terhempas di LTSASS pada 9.25 pagi.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berhubung insiden itu memaklumkan, pesawat terbabit dikendalikan Leopard Aviation Sdn Bhd dan berlepas pada jam 8.30 pagi bagi penerbangan persendirian dari Sungai Lembing, Pahang menuju ke Subang.
Pesawat itu melalui Maran, Termeloh, Karak dan Batu Caves dengan seorang juruterbang dan empat penumpang.
Dua mangsa mengalami kecederaan sementara tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/24/helikopter-terhempas-dalam-perjalanan-dari-sungai-lembing-mot/

