DUA restoran terkenal di Kajang dan Putrajaya diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata serbuan membabitkan dua restoran yang menjadi tumpuan ramai dalam satu operasi (Ops Selera) kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa pas yang sah sebagai pekerja.
Menurutnya, operasi dijalankan di sekitar kawasan Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11, Putrajaya.
“Dalam serbuan ke atas kedua-dua premis ini, seramai 31 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 29 orang warga asing telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar, 10 lelaki dan 11 perempuan warga Indonesia serta tujuh lelaki warga India.
“Selain daripada itu, tiga lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Semasa pemeriksaan dilakukan seorang lelaki warga asing telah bertindak diluar kawalan dan agresif dalam usaha melarikan diri dan tindakan pantas beberapa pegawai imigresen berjaya menahan lelaki tersebut,” katanya.
Menurutnya, seorang pegawai Kanan Imigresen turut cedera patah ibu jari kanan dalam insiden itu.
Beliau berkata, semua tahanan berkenaan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dan selepas keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka telah dibawa dan di ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, JIM menasihatkan kepada semua majikan agar mendapatkan pas yang sah dan mematuhi syarat-syarat bagi pengambilan pekerja asing.
“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku dan tangkapan serta pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warganegara asing dan majikan yang cuba mengambil kesempatan.
“Orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat tentang PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

