Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar telah menamatkan cutinya selama 55 hari di New Zealand dan selamat tiba di tanah air.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bahawa Dr Santhara sedang menjalani tempoh kuarantin wajib seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sedang kuarantin di rumah,” katanya ringkas ketika ditanya adakah Dr Santhara telah memulakan tugasnya sebagai Timbalan Menteri, memetik laporan FMT.
Pada masa sama, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Muhammad Effi Arpan turut mengesahkan Santhara sudah pulang ke Malaysia minggu lalu.
Effi berkata, Santhara sedang menjalani kuarantin wajib dan menjalankan tugas secara dalam talian melalui platform Zoom, WhatsApp, panggilan video dan lain-lain.
“Justeru, semua mesyuarat Santhara secara bersemuka atau perjumpaan secara fizikal hanya akan diadakan selepas tempoh kuarantin tamat,” katanya.
Pada 27 Februari lalu, media telah membangkitkan isu berkaitan Ahli Parlimen Segamat yang telah keluar negara ke New Zealand dan bercuti selama 55 hari.
Bagaimanapun Dr Santhara menjelaskan, tindakannya memohon cuti selama 55 hari bekerja dan pergi ke New Zealand selepas mendapat kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Dis, selain mematuhi prosedur ditetapkan Jabatan Imigresen (JIM).
“Tujuan saya keluar negara adalah bagi melawat anak-anak di New Zealand, khususnya anak yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.
“Sebagai bapa bertanggungjawab, saya perlu bertemu dengan anak berusia 9 tahun sepanjang cuti rehat itu setelah hampir setahun tidak berjumpa.
“Saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya berumur 9 tahun menerima ‘Holy Communion’ tidak dapat dihadiri kerana sibuk dengan tugas sebagai timbalan menteri dan Ahli Parlimen,” katanya.

