PENSYARAH Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, beliau mempunyai bukti bahawa Umno menerima dana berjumlah RM10 juta daripada Bersatu.
Beliau membangkitkan perkara itu sebagai respon kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung isu berkenaan.
Katanya, beliau tidak mahu membuat ulasan panjang mengenainya dan menyifatkan kenyataan Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sudah menjawab segalanya.
“Saya hanya tergelak bila ditunjukkan tulisan seorang pemimpin Umno – yang kalah bertanding dalam PRU 13, tidak dipilih sebagai calon dalam PRU14 dan kalah dalam pemilihan MKT pada 30 Jun 2018 dan hanya dilantik sebagai Ahli MKT pada 2 Julai 2019.
“Saya tidak mahu komen panjang, cukuplah sekadar dengan memuatkan kembali maklum-balas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa, Tun Faisal Ismail Aziz, dalam ruang komen,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, bantuan itu diberikan kepada Umno melalui Annuar dan diserahkan kepada Presiden Umno melalui pegawai-pegawainya.
“Ini semua cerita betul. Saya ada kat sana. Benda yang betul kita cakap betul. Saksi semua ada.”
“Saya boleh namakan mereka yang ada masa tu sebab saya ada di sana. Bukankah sudah ada saksi? Berani tak sesiapa menafi?,” katanya.
Terdahulu, Mohd Puad dalam hantaran di Facebooknya mempersoalkan dakwaan Kamarul Zaman berhubung isu berkenaan.
Katanya, Umno bukan sebuah parti yang mudah dirasuah, dijual beli dan dilacurkan seperti yang didakwa Kamarul Zaman.
“Apakah Kamaruzzaman ingat, UMNO adalah parti yang boleh dirasuah, di jual beli dan dilacur dengan wang ringgit. Nak tanya Kamaruzzaman apakah dengan membina sekolah, jalan kampung dan lain lain maka rakyat wajib undi parti pemerintah?
“Bantuan dana bukan alasan UMNO boleh dibuli. UMNO tidak boleh ditikam belakang kerana dana politik. Bukan bermakna boleh sesuka hati taja calon bebas lawan calon UMNO,” katanya. – Malaysiapost

