PAU 2020 catat sejarah, dianjur secara maya dan bersemuka

0
1
Delegates of United Malays National Organisation (UMNO) shout slogans during its party's annual general assembly in Kuala Lumpur on December 6 2013. The Malaysian Insider Picture

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2020,mencatat sejarah tersendiri kerana buat kali pertama diadakan secara kombinasi iaitu bersemuka dan maya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata PAU bersempena Sambutan Jubli Intan 75 Tahun penting untuk meningkatkan semangat perjuangan parti tersebut.

Beliau berkata, Umno akan terus prihatin, membela, membantu, menjadi juara serta sentiasa menyuarakan suara rakyat.

“Mesyuarat secara bersemuka akan dilakukan di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 Umno bahagian-bahagian.

“Pada 27 Mac, Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC.

“Manakala, pada 28 Mac, upacara menaikkan bendera di Plaza Merdeka yang disempurnakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ucapan Dasar oleh Presiden Umno merupakan acara kemuncak bagi upacara perasmian PAU pada 28 Mac.

Menurutnya, Ucapan Dasar oleh Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan puteri Umno akan disiarkan melalui media sosial seperti Facebook Live atau Facebook Watch dan Umno Online.

“Manakala ucapan perbahasan oleh wakil dari negeri-negeri akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex.

“Perbahasan adalah berkaitan ucapan Dasar Ketua Sayap dan Presiden. Ia akan menyentuh antara lain isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa dan juga isu semasa seperti Covid-19 dan vaksin,” katanya.

Selain itu, Ahmad berkata, sebanyak 42 agensi media cetak dan elektronik telah memohon untuk membuat liputan pada perhimpunan tersebut setakat 23 Mac.

“Tiada petugas media dibenarkan untuk berada di dalam dewan persidangan manakala mereka boleh membuat liputan secara maya di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC.

“Taklimat kepada petugas media diberikan oleh Pegawai Media Ibu Pejabat Umno berhubung peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

Pada 19 Mac lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan PAU 2020 dan perbincangan bersama Setiausaha Agung Umno dengan Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi juga diadakan.

Anggota keselamatan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Skuad Sabil akan ditambah ketika mesyuarat berlangsung.

Pemerhati orang awam dan ahli Umno yang bukan perwakilan juga tidak dibenarkan hadir dan tiada gerai jualan dibenarkan beroperasi. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/23/pau-2020-suarakan-pandangan-hala-tuju-umno-ikut-saluran-ku-nan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here