Sultan Sharafuddin larang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible di Selangor

0
2

SULTAN Selangor menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah, tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi pendirian baginda bahawa kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Titah baginda, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, Beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut.

“Penegasan Beta ini juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun,” titah baginda menerusi kenyataan hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menitahkan agar rakyat bukan beragama Islam di Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.

Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, baginda bertitah tetap akan mempertahan kesucian kalimah Allah kerana ia menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab baginda seperti Firman Alah SWT di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah: Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

“Apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat Beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor ini.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda juga berkesempatan membaca titah yang dizahirkan Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Ibrahim Iskandar yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/18/kalimah-allah-sultan-johor-titah-kerajaan-persekutuan-teruskan-rayuan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here