ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) untuk menjamin keselamatan awam.
Perkara itu diusulkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir dan Pengerusi Biro Profesional AMK, Khen Seah dalam kenyataan bersama, hari ini.
Mereka berkata, insiden semalam yang meragut tiga nyawa dan seorang parah adalah kejadian ketiga membabitkan tapak pembinaan dalam tempoh enam bulan.
“Seperti yang dinyatakan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di mana kontraktor tidak menutup lorong lalu lintas di bawahnya sementara penyelenggaraan dilakukan untuk peluncur kren gantri.
“Namun, gambar lokasi kejadian menunjukkan struktur rasuk jatuh tepat di sebelah kren gantri. Oleh itu, apakah kren gantri sedang menjalani kerja penyelenggaraan seperti yang dituntut atau sedang mengangkat rasuk sebelum kecelakaan? Kami menuntut penjelasan daripada Menteri mengenai perkara ini.
“Kami menggesa agar tindakan tegas mesti diambil segera terhadap kontraktor dan subkontraktor yang melanggar SOP, di samping itu, Perintah Berhenti Kerja juga harus dikeluarkan dengan segera untuk keseluruhan pembinaan Lebuhraya SUKE, supaya pihak berkuasa dapat mengkaji rancangan penilaian dan mitigasi keseluruhan projek,” katanya menerusi Facebook.
Beliau meminta kontraktor dan subkontraktor yang tidak cekap disenaraihitamkan dan dihapuskan daripada projek ini sebelum kemalangan pembinaan lain di Lebuhraya SUKE berlaku lagi.
“Projek ini juga melibatkan beberapa pihak berkuasa dan agensi yang seharusnya memeriksa dan memantau keselamatannya.
“Oleh itu, kakitangan di Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Prolintas (syarikat konsesi SUKE) yang juga terlibat dalam projek ini mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.
Mereka juga mendesak kerajaan menunjukkan ketelusan maksimum dalam menangani kejadian ini, agar kebenaran dan keadilan diberikan kepada mangsa korban.
“Laporan penyiasatan dengan sebab, akibat, tindakan dan langkah pencegahan mesti disediakan kepada umum.
“Sudah tiba masanya pihak kerajaan bertindak secara aktif untuk mencegah kecelakaan pembinaan yang boleh meragut nyawa yang tidak bersalah, dan bukan hanya langkah-langkah pasif yang hanya bertindak balas apabila berlaku kemalangan.
“Oleh itu, kerangka keselamatan yang ketat, berkesan dan bebas mesti dilaksanakan secepat mungkin untuk menjamin keselamatan awam,” katanya.
Dalam kejadian semalam, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (PROLINTAS) mengesahkan tiga pekerja pembinaan warga China maut dan seorang pengguna jalan raya cedera dalam nahas di tapak pembinaan itu.
Menerusi kenyataan, syarikat itu berkata kejadian difahamkan berlaku apabila salah satu dari komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/kren-launcher-hempap-kereta-3-warga-china-disahkan-maut/

