MAQIS rampas 25.2 tan kurma

0
2

SEBANYAK 25.2 tan kurma dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor dalam pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Klang, Sabtu lalu.

Kurma berkenaan dipercayai dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan dari Arab Saudi dan tidak mematuhi syarat permit.

Pemangku Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim, berkata rampasan itu hasil pemeriksaan rutin dijalankan anggota penguat kuasa jabatan terbabit pada jam 11 pagi.

Menurutnya, kesemua kurma itu dianggarkan bernilai RM141,229.44 dan ditahan kerana tidak mematuhi syarat dinyatakan pada permit import MAQIS, iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) ditetapkan.

“Kegagalan mengemukakan maklumat itu menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kurma berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk dipasarkan pada Ramadan bulan depan.

Katanya, pihak MAQIS mengambil serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here