SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan pelan jangka pendek membina tangki sedutan sebagai langkah sementara menyelesaikan isu bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan.
Ahli Suruhanjayanya Shahir Adnan, berkata tangki sedutan separa itu tertanam di bawah Projek CSR SPAN yang menelan belanja RM47,000.
Katanya, SPAN melalui Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) telah memulakan projek pembinaan ‘dedicated pipe’ dari tangka air Merbau terus ke HRPZ II sebagai jaminan bekalan air kepada hospital.
“Projek penukaran paip dalam bandar Kota Bharu juga telah siap dan mula beroperasi. Punca gangguan air dalam tempoh sekarang adalah disebabkan oleh kerja-kerja penyelarasan sistem agihan bagi paip-paip baharu tersebut.
“Justeru, sememangnya akan berlaku gangguan bekalan air di kawasan-kawasan di Kota Bharu, termasuklah di HRPZ II,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berkata, pada masa sama terdapat kerja pengalihan dan pemasangan paip terpaksa ditangguhkan di sekitar HRPZ II disebabkan oleh pembinaan pagar mitigasi banjir hospital itu.
“Namun, berdasarkan maklumat terkini, kerja-kerja tersebut akan disiapkan dalam masa terdekat dan gangguan bekalan air akan dapat dikurangkan,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua pihak bersabar dan yakin dengan usaha yang sedang dijalankan bagi mengatasi masalah air di Kelantan.
Katanya, Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengumumkan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah air di Kelantan.
“Sembilan projek menaik taraf perkhidmatan air bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan dijangka siap dalam tahun ini,” katanya.
Semalam, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali, berkata masalah bekalan air membelenggu HRPZ II sehingga menjejaskan operasi harian hospital berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.
Katanya, hampir setiap hari, bekalan air hanya mampu bertahan sehingga tengah hari sebelum bekalan terputus berikutan penggunaan tinggi di hospital berkenaan.
Jelasnya, setiap hari penggunaan air di hospital tinggi sehingga mencecah 500 gelen bersamaan 1,893 liter.
“Bagaimanapun bekalan air yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan,” katanya. -Malaysiapost

