MENTERI Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata laluan kenderaan wajar ditutup jika sesuatu struktur berat perlu dialih dalam melaksanakan projek pembinaan jalan raya atau lebuh raya.
Beliau berkata, berkata perkara itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu diikuti oleh kontraktor bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam.
“Dalam pelaksanaan projek, jika misalnya nak alihkan ‘gantry launcher’, jalan perlu ditutup, jika jalan dah selamat, struktur itu pun selamat (dialih), maka barulah buka semula laluan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek-Projek di bawah pelaksanaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya, hari ini.
Beliau mengulas kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai pagi tadi, yang menyebabkan tiga pekerja maut.
Melalui siasatan awal, ia berpunca apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan.
Fadillah yang kecewa dengan perkara itu berkata, kontraktor projek sudah berkali-kali dinasihatkan mematuhi SOP namun kejadian itu masih berulang.
Justeru, beliau menggesa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menyiasat dan mengambil tindakan tegas jika kontraktor didapati tidak mematuhi SOP.
“Kontraktor ini boleh disenarai hitam, tidak diberi projek langsung selama dua tahun,” katanya.
Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebagai badan yang memantau dan agensi berkaitan, juga digesa menyiasat secara terperinci kejadian berkenaan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/2-maut-2-cedera-kren-launcher-hempap-kereta/

