TINDAKAN berbalah secara terbuka membabitkan sesama pemimpin Umno dilihat merugikan parti itu tambahan perbalahan disebabkan pihak ketiga.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata andai terdapat perbezaan pendapat atau ‘dua aliran’ kerana takrifan ideologi, halatuju perjuangan, pengisian tawaran dasar negara dan sebagainya, sekurang-kurangnya ia perbezaan yang membina.
“Tetapi kalau kita berpecah dek kerana soal pertalian dengan orang luar keluarga, seakan sia-sia.
“Meskipun begitu, perlu ditegaskan, kalau pun ada kelainan pandangan dalam sesebuah isu, tentunya tindakan kita mesti dipandu keputusan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, setakat hari ini, jelas bahawa sama ada melalui Perhimpuan Agung Umno (PAU) 2019 mahupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu dua badan pembentuk dasar Umno, parti telah memutuskan tiga perkara.
“Tiada kerjasama Pilihan Raya Umum (PRU) dengan PPBM, PKR, DAP; kerjasama dengan PAS dipelihara dan diperkasa serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) didukung sehingga pembubaran Parlimen,” katanya.
Menurutnya, individu dalam parti tentunya ada pandangan masing-masing, namun tidak semua yang berpendirian berbeza dari sesuatu keputusan parti semestinya terus dilabel pengkhianat atau ejen parti lain.
“Ia tuduhan berat yang tak wajar dilontar tanpa usul periksa tindakan dan tingkahlakunya, apatah lagi sesama kita dalam keluarga (Umno).
“Cuma, apabila keputusan induk parti telah dibuat, tugas kita adalah untuk menjayakan keputusan itu, bukannya merosakkan.
“Sewaktu awal kita mahu bersama PAS pun, tidak semua yang senada. Tetapi di kalangan yang tak setuju, baik dari Umno mahupun barangkali PAS juga mampu menelan ego, akur, malah membantu menjayakannya,” katanya.
Shahril berkata, selagi tidak berubah keputusan MKT berkenaan tiadanya kerjasama dengan Bersatu selepas pembubaran Parlimen, maka parti itu berpegang kepada pendekatan berkenaan sebagai ketetapan dasar Umno.
Katanya, perbalahan harus dilakukan di tempat yang sesuai dan bukan secara terbuka sesama sendiri dengan menyerang keputusan parti di media dalam bab yang tiada kena mengena dengan memenangi hati pengundi.
“Ia membazir peluru, tenaga, masa dan minda yang sepatutnya ditujukan ke perkara lain.
“Sama-sama kita doakan Perhimpunan Agung minggu hadapan mampu menjernihkan senario dalam Umno supaya kita benar-benar mampu beralih ke fasa melengkap persiapan menghadapi ujian sebenar dalam PRU,” katanya. – Malaysiapost

