Kluster Ladang Bukit merebak hingga ke generasi kelima

0
2

KLUSTER Ladang Bukit telah merebak hingga ke generasi kelima dengan kes positif kini mencecah 132 individu dan 1,404 kes kontak rapat telah dikesan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kluster ini sudah merebak dengan meluas sekali, dengan hari ini tambahan 26 kes baharu lagi.

“Ia menjadikan jumlah positif dikesan adalah seramai 132 orang dengan 1404 kontak rapat dikesan. Penularan sehingga ke generasi ke lima.

“Saya katakan dia meluas kerana asal Kluster di Kerteh. Suami (Gen 1) menjangkiti isteri (Gen 2). Mereka tinggal di Marang. Isteri yang bekerja di Kuala Terengganu menjangkiti pula rakan sekerja (Gen 3).

“Manakala rakan sekerja menjangkiti pula ibunya (Gen 4). Ibu yang bekerja di sebuah pejabat di Kuala Nerus menjangkiti pula lima rakan sekerja (Gen 5). Begitulah generasi seterusnya terbentuk,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum keadaan makin parah.

“Beringatlah sangat-sangat. Kita pesan sokmo dah. Jangan ambik mudah kepatuhan SOP di tempat kerja.

“Betul, tiada siapa yang mahu perkara ini berlaku tetapi semuanya boleh dicegah. Kalau dah meluas penularan lagi lah sukar untuk kita mengawalnya.

“Adakah Kluster ini bakal mengatasi Kluster Makekar,” soalnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here