BATALION Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD (Para)), Kem Sri Pantai, Kuala Terengganu, bakal memiliki pelbagai kemudahan awam dalam tempoh dua tahun lagi.

Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan, berkata, kemudahan awam yang sedang dibangunkan di kem tersebut ialah sebuah Masjid dan Poliklinik Kesihatan yang baharu.
“Masjid yang mampu menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu, dibina dengan kos berjumlah RM 4.5 juta, ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pembinaannya dijangka selesai pada penghujung tahun 2022 nanti,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan itu, pembinaan Poliklinik Kesihatan yang baharu pula telah bermula sejak awal Januari 2021 dengan kos pembinaan berjumlah RM 25 juta.
“Poliklinik ini yang bakal menyediakan kemudahan kesihatan kepada tentera dan keluarga, turut dilengkapi dengan wad kecemasan, bilik x-ray dan juga makmal. Ia dijangka memulakan operasi pada awal tahun 2023 nanti.
“Bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang ini menepati perancangan Kementerian Pertahanan, Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama-sama Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, meluangkan masa untuk meninjau perkembangan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Sementara itu, perkembangan projek pembinaan masjid disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Yusuf Ghani.

Manakala projek Poliklinik Kesihatan pula, ditaklimatkan oleh Jurutera Kerja Kanan 2, Jabatan Kerja Raya Terengganu, Ir Shahrizam Mat Salleh.
Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri turut mengumumkan dua inisiatif baharu untuk penambahbaikan fasiliti di 18 RAMD Para iaitu menaik taraf 196 unit RKAT Kelas G Jenis 2 bilik kepada 3 bilik pada tahun 2022.
“Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan untuk menaik taraf Dewan Sri Terengganu.
“Sesungguhnya, lawatan Menteri Kanan (Keselamatan) dan Tan Sri PTD ke pasukan-pasukan sebegini amat memberikan erti buat warga pasukan serta keluarga mereka.
“Kehadiran pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan Malaysia dan Tentera Darat Malaysia ternyata mampu menaikkan semangat dan moral dalam kalangan warga tentera itu sendiri,” katanya.
Selain itu, menurut kenyataan itu, pelaksanaan projek-projek pembangunan ini ternyata sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28, iaitu ‘Pelestarian Kesejahteraan Warga’, yang memberikan penumpuan kepada aspek kebajikan meliputi pembangunan kemudahan awam dan kesihatan. -Malaysiapost

