Rentas negeri antara zon hijau hanya dibenarkan bagi aktiviti pelancongan yang dikendalikan agensi, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, rentas negeri untuk semua masih belum lagi cuma sesiapa yang mahu melancong perlu menggunakan agensi pelancongan.
“Rentas negeri zon hijau ke zon hijau melalui agensi pelancongan, sebab ada zon hijau melalui kawasan zon merah, kalau kita benarkan individu secara bebas untuk ‘cross’ kawasan merah tadi mana kita tahu, dia pergi ke tempat yang mereka nak pergi melancong itu.
“Kalau dia pergi dengan agensi, maka agensi terbabit akan melaporkan kepada pihak polis berkenaan lokasi, hotel dan aktiviti-aktiviti program.
“Melalui agensi, individu atau kumpulan tersebut akan dipastikan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti daftar MySejahtera. Jadi, bila pergi sendiri sebagai contoh Langkawi kawasan hijau terpaksa lalui Pulau Pinang, macam mana polis nak tahu orang itu betul-betul pergi ke Langkawi, dia tak melencong ke Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media lawatan Menteri Pertahanan ke 18 RAMD (PARA), hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Pelancongan yang mencadangkan SOP itu iaitu melancong menggunakan agensi bukan secara individu.
“Justeru, melalui agensi akan memudahkan pihak polis memantau,” katanya. -Malaysiapost

