SATU tapak projek pembinaan diarahkan tutup serta merta kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anggota Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 28 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.
“Daripada jumlah itu, 27 tapak binaan mematuhi SOP manakala satu lagi diarahkan tutup serta-merta.
“Secara keseluruhannya, CIDB telah melakukan 16,256 pemeriksaan melibatkan 9,209 tapak binaan sejak 20 April 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri menjelaskan, seramai 3,252 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 22 orang didapati positif Covid-19, semalam.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 634,082 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 32,809 majikan.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,935 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 624,147 lagi adalah negatif,” katanya.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 1,534 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.
“Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya. -Malaysiapost

