SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah keadaan masa kini memperlihatkan ramai pihak menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah, selain menggunakan pelbagai hujah menafikan perbuatan jenayah.
Titah Baginda, mereka juga bersedia membayar yuran guaman yang tinggi, hasil daripada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau perlakuan dosa.
Baginda bertitah, perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai, turut memberikan implikasi terhadap individu lain serta rakyat sesebuah negara.
“Malangnya ketika ini, oleh sebab Islam lebih dijadikan pakaian luaran, ramai insan tidak merasa takut melakukan dosa dan tidak berasa gentar untuk menghadapi seksa kubur dan azab neraka.
“Hinggakan insan yang telah melakukan pelbagai jenayah dan dosa, memilih menjadikan mahkamah gelanggang untuk menegakkan benang basah, tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.
“Sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa,” titah Baginda seperti dilaporkan Bernama.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan barisan Exco negeri.
Baginda bertitah, perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguatkuasa, mahkamah dan penjara, namun lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemai nilai-nilai Islam secara berkesan, sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan.
“Setiap insan yang melakukan dosa, boleh menipu hakim, mahkamah, peguam, masyarakat dan orang ramai, tetapi mereka tidak boleh menipu dirinya dan tidak boleh menipu Allah SWT” titah Baginda.
Justeru Baginda bertitah, pendekatan pencegahan, menerapkan nilai-nilai Islam secara berkesan, merupakan pendekatan yang wajib diberikan fokus.
Selain itu titah Sultan Nazrin, angka jenayah yang rendah perlu dijadikan pengukur kejayaan pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah perlantikan dua beliau iaitu Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathil lah, 23, dan Ezatul Farita Rohawi, 33, sebagai Ahli MAIPk.
Titah Baginda, golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program yang diadakan bagi menyuntik dinamisme baharu. -Malaysiapost

