BEBERAPA tindakan Umno yang memperjuangkan suara rakyat dan lantang mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini nyata telah mengundang ketidakselesaan Pengasas Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi satu hantaran Facebook, bekas Menteri Belia dan Sukan itu telah ‘menyerang’ dua pemimpin utama Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Dr Nooraini Ahmad yang disifatkannya berpura-pura dan cuba mengaburi mata rakyat bahawa Umno adalah sebahagian daripada kerajaan PN.
“Semalam saya ulas tentang Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang berpura-pura menjadi pembangkang dan gesa kerajaan (yang sebahagian besar dianggotai oleh Umno) untuk buka Parlimen.
“Tadi saya nampak Ketua Pergerakan Wanita Umno Noraini Ahmad pula yang berpura-pura menjadi pembangkang.
“Wanita Umno sedia khidmat guaman kepada mana-mana individu yang kena kompaun RM10,000. Padahal yang gagal diceritakan oleh Noraini Ahmad adalah Umno juga ada dalam mesyuarat-mesyuarat untuk kerajaan kenakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu juga berkata, Umno sepatutnya memainkan peranannya sebagai kerajaan dan perlu bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang diputuskan Kerajaan PN.
“Umno adalah kerajaan, bukan pembangkang. Kerajaan yang dianggotai Umno ini memutuskan untuk kenakan kompaun RM10,000.
“Macam mana Umno setuju dengan kompaun RM10,000 tetapi pada masa sama, kononnya nak bantu rakyat dengan khidmat guaman pula?
“Kalau nak bantu rakyat, mentadbir lah dengan adil. Jangan setuju dengan keputusan untuk kompaun RM10,000 kepada rakyat yang sedang susah, lapar dan sakit.
“Anda tidak boleh menjadi kerajaan dan cuba berselindung untuk bangkang keputusan kerajaan pula. Anda adalah kerajaan,” katanya.
Syed Saddiq turut menyindir Umno adalah sebuah parti yang cuba menonjolkan imej yang baik di mata rakyat meskipun keputusan Kerajaan PN dalam isu kenaikan nilai kompaun melanggar SOP mendapat kecaman rakyat.
“Soalan saya, adakah Umno mahu memberitahu kita bahawa Umno tidak terlibat dengan keputusan kompaun RM10,000 dari kerajaan?
“Atau Umno cuba beritahu bahawa mereka boleh berselindung dari setiap keputusan tidak adil dari kerajaan dengan “membangkang” kerajaan supaya nampak molek di mata orang ramai?” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/18/suara-rakyat-agar-parlimen-dibuka-makin-kuat-ahmad-maslan/

