KETUA Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador diminta agar memberi laporan lengkap berhubung dakwaan terdapat susulan isu ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda yang mahu menjatuhkannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata laporan penuh berkenaan dakwaan itu diperlukan agar apa-apa pun selepas ini yang diumumkan kepada rakyat adalah lebih jelas.
Beliau memaklumkan sudah menghubungi KPN semalam susulan isu berkenaan.
“Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, perkara yang KPN maklumkan kepada umum dan saya sebagai Menteri tidak dimaklumkan awal.
“Jadi semalam saya sudah pun menghubungi KPN dan meminta beliau menyediakan laporan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Menurutnya, perkara yang diumumkan kepada rakyat perlu lebih jelas, tidak samar-samar atau menimbulkan persepsi yang kurang baik.
“Sebab itu saya meminta agar beliau melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.
Semalam Hamzah dilaporkan berkata, Abdul Hamid perlu melaporkan kepada SPP berhubung dakwaannya mengenai kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai Muda yang mahu menjatuhkannya.
Hamzah, yang juga Pengerusi SPP dilaporkan berkata, Abdul Hamid tidak pernah membawa isu itu kepada SPP dan ini adalah kali pertama beliau mendengar ada kartel dalam PDRM. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/18/gerakan-sulit-jatuhkan-ketua-polis-negara/

