Operator jet ski hilang, ditemui lemas

0
2

SEORANG operator jet ski yang dilaporkan hilang petang semalam selepas cuba menyelamatkan dua pelancong warga China yang terjatuh ke dalam laut di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang berhampiran Monkey Beach, ditemui lemas.

Mayat Mohammad Ashrul Aswan Hussain, 23, ditemui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 10.25 pagi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohammed, berkata Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 4.30 petang semalam dengan mengatur gerak bot PERKASA 1221 Maritim Malaysia untuk mencari mangsa yang hilang.

Menurutnya, mangsa bersama rakannya menaiki jet ski untuk menyelamatkan dua pelanggannya itu berikutan jet ski yang dinaiki terbalik.

“Sebaik penyewa diselamatkan, rakan mangsa membawa penyewa ke pantai dan meninggalkan mangsa di lokasi kejadian.

“Seterusnya rakan mangsa kembali ke lokasi kejadian untuk membawa balik mangsa dan mendapati mangsa tidak kelihatan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa berasal dari Tanjung Dawai, Kedah kali terakhir dilihat tidak memakai jaket keselamatan serta tidak berbaju dan hanya berseluar hitam sewaktu kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan akan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk tindakan lanjut.

“Operasi CARILAMAT ditamatkan pada 11.10 pagi oleh MRSC Langkawi,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here