Golongan berisiko tidak digalak ke stadium

0
1

GOLONGAN warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan ke stadium bagi menonton perlawanan bola sepak kerana lebih berisiko dan mudah terdedah dengan wabak Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata buat masa ini tiada undang-undang khusus untuk menghalang golongan terbabit untuk memasuki stadium namun pihaknya berharap saranan itu dipatuhi.

Katanya, pihaknya kini mengambil langkah berhati-hati untuk meyakinkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa pemain ke-12 itu kini sudah boleh kembali ke stadium.

“Kanak-kanak tidak digalakkan, begitu juga mereka yang berusia 60 tahun keatas. Ini kumpulan mudah (dijangkiti) dan terdedah (dengan risiko).

“Saya mahu yakinkan MKN dan KKM bahawa apa yang dikatakan saya pada mereka ini boleh jadi realiti. Sebab itu saya buat percubaan atau ‘Proof of Concept (POC)’ dan bawa mereka untuk lihat sendiri.

“Dalam masa yang sama, saya juga mahu lihat penonton sama ada mereka ini boleh menjaga tingkah laku. Mereka boleh datang dan buktikan. Saya seorang sahaja bercakap dan yakinkan kerajaan tidak cukup,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Of Experts (POE), di Putrajaya , hari ini.

Reezal turut meminta kerjasama peminat sukan berkenaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menunjukkan testimoni yang baik ketika perlawanan berkenaan.

“Jika mereka gagal tunjuk testimoni (yang baik) dan yakinkan pihak MKN, usaha untuk membawa masuk penonton pada perlawanan berikutnya tidak dapat dilaksanakan.

“Saya akui ia bukan satu benda yang mudah, walaupun 2,000 penonton itu nampak sedikit tetapi bayangkan kalau mereka ini berada dalam keadaan berkelompok. Sudah tentu MKN dan KKM tidak benarkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April ini.

Bagaimanapun, ia mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya membabitkan kawalan penyeliaan sepanjang masa. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/18/stadium-tidak-sunyi-lagi-mkn-benarkan-kehadiran-penyokong/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here