BEKAS Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dilantik sebagai Pengerusi Pejuang Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, ini bukan satu perlantikan untuk dirinya mendabik dada tetapi sesungguhnya perlantikan ini merupakan satu amanah yang amat berat untuk dipikul.
“Bagi saya ini merupakan amanah di antara manusia sesama manusia dan manusia dengan Allah swt.
“Insyaallah, dengan berkat pertolongan dari semua rakan-rakan seperjuangan di Wilayah Persekutuan; saya akan cuba menggalas jawatan ini secara terbaik serta teramanah mungkin bagi menjaga kepentingan rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan tanpa sebarang bentuk agenda kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, terdapat pelbagai isu-isu besar dan kecil yang masih tidak lagi selesai di Wilayah Persekutuan yang membelenggu kehidupan seharian rakyat jelata yang perlu diberi perhatian secara serius dari perspektif mikro serta makro.
“Permintaan serta keperluan rakyat di Wilayah Persekutuan adalah amat sofistikated dan kompleks. Ini akan menjadi satu cabaran yang hebat untuk saya dan rakan-rakan seperjuangan menggalas tanggungjawab secara effektif.
“Agenda untuk memakmurkan dan mensejahterakan penghidupan rakyat merupakan wadah perjuangan terpenting Pejuang.
“Mengatasi masalah kemiskinan rakyat marhein di bandar juga akan menjadi teras utama perjuangan Pejuang,” katanya.
Katanya, Pejuang telah bersedia untuk wujudkan jentera gerak kerja di peringkat akar umbi di Wilayah Persekutuan bagi melaksanakan agenda fardhu kifayah serta bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.
“Sekali lagi, saya bersyukur kerana platform ini juga merupakan satu asas kepada saya serta keseluruhan sahabat handai di Wilayah Persekutuan untuk melawan seterusnya membasmi rasuah di semua peringkat di Wilayah Persekutuan khasnya.
“Pejuang mempunyai agenda tulen kearah membela keseluruhan rakyat tanpa kira bangsa serta agama dan tetap berpegang erat pada prinsip untuk membina semula Malaysia Baharu demi kesejahteraan masa depan negara kita,” katanya. -Malaysiapost

