“SELEPAS 20 tahun diperkenalkan, MyKad bakal dinaik taraf dengan teknologi digital terkini lebih canggih sekali gus tidak mudah dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, proses pendigitalan MyKad itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti secara terus kesahihan kad berkenaan dengan lebih mudah dan pantas.
“Insya-Allah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memang sudah ada perancangan untuk beralih kepada penggunaan program pendigitalan ID (dokumen diri) yang lebih canggih.
“Lepas ini, jika individu itu pergi ke bank untuk urusan tertentu, dia letak tangan di pengimbas dengan MyKad, pegawai di situ boleh tahu ia kad palsu kerana tiada rekod diri,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya menjangka pelaksanaan MyKad versi baharu itu akan diumum pada tahun ini juga dan memberi amaran keras kepada pemilik kad palsu supaya berwaspada sebelum ditangkap. -Malaysiapost

