HUJAH Tan Sri Rais Yatim yang menyifatkan pengundi muda lepasan umur 18 tahun akan terbabit secara langsung sebagai ahli politik adalah sangat dangkal, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil
Isham berkata, alasan yang diberikan oleh Speaker Dewan Negara itu dengan mendakwa masyarakat terutamanya para ibu bapa belum bersedia untuk melihat anak mereka yang baru menamatkan alam persekolahan akan menjadi ahli politik jika dibenarkan mengundi pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) ini adalah kebudak-budakkan.
“Saya hormat Speaker Dewan namun hujah Tan Sri Rais Yatim ini seolah kebudak-budakan.
“Jika jawapan seperti ini diberi dalam kertas soalan SPM, tentunya Tan Sri Rais akan gagal”, sindirnya dalam Facebook, hari ini.
Isham menjelaskan, rakyat Malaysia yang menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan mengundi pada pilihanraya umum tidak boleh dilabel semuanya adalah ahli politik.
“Usul Undi-18 itu ialah berkenaan kelayakan orang muda berumur 18 tahun untuk mengundi atau untuk mereka menjadi pengundi, ia bukan usul untuk mereka berpolitik atau menjadi ahli politik.
“Di Malaysia sekarang ada lebih kurang 15 juta pengundi, hampir semua (atau 99 peratus) daripada mereka bukanlah ahli politik atau sibuk berpolitik walaupun mereka mengikuti perkembangan politik. Jadi pengundi tidak bermaksud jadi ahli politik,” katanya.
Sepatutnya menurut Isham, pengundi 18 tahun dibenarkan mengundi bagi mematangkan mereka dengan proses demokrasi dan dasar-dasar pemerintahan negara pada usia yang muda.
“Jika pengundi-pengundi muda berumur 18 tahun ke atas ingin mengikuti perkembangan politik dan pada masa yang sama mengambil bahagian dalam proses demokrasi melalui pembuangan undi, ini perlu dibenarkan malah digalakkan kerana mereka adalah pemegang taruh terbesar ke atas dasar-dasar kerajaan yang memberi kesan kepada mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang sehingga mereka berumur 23 tahun,” jelas Isham.
Justeru, Isham berharap usul pengundi 18 tahun yang telah dipersetujui di Dewan Rakyat tahun lalu tidak boleh dihalang oleh Rais dan Bersatu.
Malah, kata Isham, sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan hak Melayu, Bersatu tidak boleh menghalang pengundi 18 tahun daripada mengundi kerana majoriti golongan ini adalah anak muda Melayu.
“Jika mereka tidak dibenarkan mengundi, ia adalah suatu penganiayaan atau ketidakadilan besar kepada mereka.
“Daripada 8 juta pengundi muda baru berumur 18 tahun ke atas yang dijangka akan layak mengundi secara automatik dengan Undi-18 tersebut, lebih dua-per-tiga atau 5 juta daripadanya adalah pengundi muda Melayu.
“Bagaimanakah kita hendak percaya yang Rais Yatim dan partinya Bersatu ini kononnya ingin memperjuangkan hak orang-orang Melayu jika mereka tidak benarkan berjuta-juta anak muda Melayu untuk mengundi?
“Kepada Tan Sri Rais dan PPBM, jangan sekat hak orang muda untuk mengundi,” kata Isham. – Malaysiapost.

