Isu kerjasama DAP, Umno tak berbangkit – Loke

0
2

PERSOALAN adakah DAP sanggup kerjasama dengan Umno tidak timbul kerana kedua-dua parti bukan lawan tradisi pada setiap kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Sehubungan itu, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pertembungan DAP dengan Umno sangat minimum dan soal sama ada kedua-dua parti akan bekerja tidak seharusnya berbangkit.

“Kalau kita lihat kerusi ditandingi mengikut pilihan raya lalu, DAP bertembung dengan Umno hanya satu kerusi iaitu Cameron Highlands. Kebanyakan kerusi lain, kita tidak bertembung.

“Musuh dan lawan tradisi kita ialah calon daripada MCA, Gerakan, SUPP di Sarawak dan MIC. Jadi, pertembungan kita dengan Umno amat minimum.

“Persoalan adakah DAP sanggup kerjasama dengan Umno, itu tidak timbul, sebab kerusi kita tidak bertindih dengan Umno. Dari segi Pakatan Harapan (PH) dengan Umno, itu kita belum bincang, saya tak pasti,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian dalam temu bual menerusi Program Khas Ulang Tahun ke-55 DAP yang disiarkan di Facebook DAP, malam tadi.

Mengulas lanjut, Loke berkata kedua-dua parti tidak mengadakan perbincangan bagi menghadapi PRU15, namun mengakui apa saja boleh berlaku pada masa hadapan.

“Adakah kerjasama itu boleh dibentuk selepas pilihan raya? Dinamik politik hari ini berubah, tiada sesiapa yang boleh katakan bahawa sesuatu itu tidak akan berlaku, langsung tidak akan berlaku, siapa yang boleh katakan itu? Tiada sesiapa.

“Sebab politik itu adalah seni yang berkemungkinan, kalau keadaan memerlukan semua parti kena kerjasama demi satu kerajaan stabil dan kukuh, maka ia perlu dibincangkan.

“Sampai masanya ia perlu dibincangkan, namun menjawab soalan adakah DAP, Umno sudah berbincang dalam PRU15, jawapannya tidak,” katanya.

Katanya lagi, pendirian DAP jelas iaitu tidak akan bekerjasama dengan pemimpin atau Ahli Parlimen yang telah disabitkan dengan kesalahan dan digelar sebagai kleptokrat.

“Tetapi adakah kita tidak ada langsung kerjasama dengan Ummo, itu pun tak betul sebab di Perak kita ada perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan Umno, itu satu bentuk kerjasama.

“Di Johor ada satu kerjasama tak rasmi juga bahawa kita bersedia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan.

“Kalau kita lihat dalam konteks kerjasama itu, ia sudah wujud di Perak dan Johor. Tetapi adakah kerjasama itu rasmi? Ia boleh kata rasmi, boleh kata tidak rasmi, sebab dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) memang ada kerjasama tersebut, ada terjalin khususnya di Perak,” katanya. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here